Definisi Membaca
1. Menurut Kamus Dewan
Membaca bermaksud memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya.
Makna secara ringkas
Membaca ialah memindahkan tulisan kepada suara untuk menangkap makna dan memahami apa yang dibaca. Murid yang tidak mampu memahami apa yang terkandung dalam bacaan walaupun membaca dengan lancar tetap dikira dan dianggap tidak pandai membaca. Hal ini kerana memahami isi bacaan merupakan tujuan utama seiring dengan kelancaran membaca.
2. Menurut Goodman 1975 dan Smith 1978
Membaca ialah satu proses psikologi yang berlaku apabila pembaca membentuk semula dalam fikirannya erti yang diterap oleh penulis dalam bentuk tulisan yang kemudiaannya dibaca oleh pembaca.
3. Menurut Juriah Long
Membaca memerlukan komunikasi mesej atau makna dan sedutan makna, iaitu makna yang wujud pada beberapa peringkat, daripada pemahaman yang paling rendah kepada interpretasi yang tinggi, daripada yang nyata atau konkrit kepada yang abstrak, daripada penilaian yang senang kepada penilaian yang lebih kompleks.
4. Menurut Dallman
Membaca melibatkan pemahaman dan interpretasi idea-idea yang disimbolkan melalui penulisan atau simbol tertulis.